">Sabda Rasulullah s.a.w:”Tidak ada seorangpun yang berada di dalam satu kaum yang mengetahui mereka melakukan kemaksiatan sedangkan ia berkuasa untuk mencegahnya maka Allah akan menurunkan azab kepada mereka sebelum mereka mati.” Riwayat Abu Daud
Huraian:
1. Imam al-Mawardi menyatakan bahawa hisbah adalah menyeru kepada makruf (kebaikan) apabila ternyata ditinggalkan dan mencegah daripada perbuatan mungkar (keburukan) apabila ternyata dilakukan dan mendamaikan antara manusia.
2. Manakala menurut para ilmuan moden, hisbah merupakan satu peraturan daripada beberapa peraturan Islam di mana pada hari ini telah diwujudkan satu badan pengawasan khas yang dipertanggungjawabkan oleh pemerintah untuk menjalankan peranan mengawasi dan memeriksa semua keperluan manusia seperti perihal dagangan, jalanraya, makanan, ubat-ubatan dan sebagainya. Tujuannya adalah untuk mengekalkan keadilan dan kemuliaan bersesuaian dengan tuntutan syariat dan keperluan masyarakat setempat.
3. Hisbah memerlukan kemampuan, kekuasaan dan kekuatan untuk melakukannya. Sebab itulah hukum hisbah bersifat fleksibel. Adakalanya ia menjadi wajib kifaie iaitu apabila ia dilakukan oleh seseorang atau sebahagian daripada anggota masyarakat maka gugurlah kewajipan dan dosa masyarakat sekeliling dan adakalanya menjadi wajib ‘aini iaitu sekiranya kemungkaran tersebut berlaku di kalangan orang tertentu sahaja di mana orang lain tidak mampu mencegahnya melainkan orang yang berada di kalangannya sahaja. Semua ini bergantung pada keadaan, kemampuan pelaku hisbah dan bentuk kesalahan yang dilakukan.
Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Sabtu, 14 November 2009
LARANGAN MENINGGALKAN HISBAH
Jumaat, 13 November 2009
بِسْــم اللهِ الرَّ حْمــنِ الرَّ حِــيْـم
اِنَّ يّوْمَ الْـفَـصْـلِ مِـيـْقَـاتُـهُـمْ أَجْـمَـعِـيْـنَ
(اِنَّ يّوْمَ الْـفَـصْـلِ) "Sesungguhnya hari keputusan". Iaitu Hari Kiamat. Pada hari itu Allah memutuskan hukum bagi semua perkara yang telah dilakukan oleh makhlukNya. Dia akan mengazab orang-orang kafir dan memberi pahala kepada orang-orang Mukmin.
(مِـيـْقَـاتُـهُـمْ أَجْـمَـعِـيْـنَ) "Waktu yang dijanjikan bagi mereka semuanya". Allah menghimpunkan mereka semuanya sejak awal sampai yang akhir.
يَـوْمَ لاَيُـغْـنِـى مَوْلـًى عَـنْ مَّـوْلـًى شَـيْــئًــا وَلاَ هُـمْ يُـنْـصَـرُونَ
إِلاَّ مـَنْ رَّحِــمَ اللهُ إِنَّـهُ هُـوَالْـعَـزِيـزُ الـرَّحِـيـمُ
(يَـوْمَ لاَيُـغْـنِـى مَوْلـًى عَـنْ مَّـوْلـًى شَـيْــئًــا) "Iaitu hari yang seorang karib tidak dapat memberi manfaat kepada karibnya sedikit pun". Yakni kaum kerabat tidak lagi bermanfaat kepada kerabat lainnya.
( وَلاَ هُـمْ يُـنْـصَـرُونَ ) "Dan mereka tidak akan mendapat pertolongan". Iaitu seseorang kerabat tidak akan dapat membantu kerabatnya, dan tidak ada pula pertolongan yang datang kepadanya dari pihak lain.
( إِلاَّ مـَنْ رَّحِــمَ اللهُ ) "Kecuali orang yang diberi rahmat oleh Allah" . Yakni pada hari itu tidak ada lagi sesuatu yang bermanfaat kecuali rahmat Allah Yang Maha Mulia lagi Maha Perkasa kepada makhlukNya.
(هُـوَالْـعَـزِيـزُ الـرَّحِـيـمُ )"Sesungguhnya Dia lah Yang Maha Perkasa lagi Maha Penyayang". Iaitu Dialah Tuhan Yang Maha Perkasa lagi mempunyai rahmat yang amat luas.
Sabtu, 7 November 2009
AMALAN SEDEKAH
Menyembunyikan sedekah
Ibarat tangan kiri tidak tahu apa yang diberikan oleh tangan kanan. Firman Allah, "Jika kamu menampakkan sedekah(mu), maka itu adalah baik sekali, Dan jika kamu menyembunyikannya dan kamu berikan kepada orang-orang fakir, maka menyembunyikan itu lebih baik bagimu." (Surah al-Baqarah 2: 271)
Tidak menyebut-nyebut
Perbuatan mengungkit sedekah yang telah diberikan ibarat menghapuskan kebaikan yang telah dibuat. Firman Allah, "Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti (perasaan si penerima." (Al-Baqarah 2: 264)
Sedekah sesuatu yang terbaik
Firman Allah, "Dan janganlah kamu memilih yang buruk-buruk lalu kamu menafkahkan daripadanya, padahal kamu sendiri tidak mau mengambilnya melainkan dengan memincingkan mata terhadapnya." (Surah al-Baqarah 2: 267)
Menganggap sedekah kita kecil
Jika kita merasakan apa yang diberi sesuatu sumbangan yang besar, dikhuatiri wujud sifat wujub dan riyak dalam diri.
Sedekah kepada yang memerlukan
Memberikan sedekah kepada orang yang melakukan ketaatan, orang yang baru masuk Islam atau kepada orang yang diharap akan mendapat hidayah dari Allah untuk masuk Islam.
Sumber: Al-Jami' al-Sahih min Ahadith al-Nisa' oleh Isham Bin Muhammad al-Syarif